Suami isteri maut rempuh treler rosak
Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Wira dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler rosak yang diparkir di tepi jalan dalam kejadian di Sungai Nibong, Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu, di sini, pada jam 5.30 pagi ini.
Mangsa Elexander Ngerantar, 37, dan Winnie Mangku, 35, dari Taman Jelita, di sini, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Difahamkan, Elexander yang memandu kereta itu dipercayai tidak menyedari ada treler rosak yang sarat dengan muatan dan berhenti di tepi jalan ketika kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Miri dari Bintulu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Janathon Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan termasuk mendapatkan keterangan seorang lelaki yang didakwa pemandu treler berkenaan.
No comments:
Post a Comment