Monday 21 July 2014
AirAsia Minta Penumpang Tiba 3 Jam Awal
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menjangkakan bilanganpenumpang kapal terbang akan meningkat sehingga 40 peratus pada musim perayaan ini dan menyebabkan kesesakan di terminal lapangan terbang.
Sehubungan itu, AirAsia menasihati penumpang mereka supaya tiba tiga jam lebih awal di lapangan terbang sebelum waktu berlepas untuk mengelakkan mereka terlepas penerbangan akibat kesesakan itu.
“Jumlah penumpang di lapangan terbang dijangka naik mendadak dan jalan-jalan utama dijangka sesak semasa tempoh perayaan.
“Mereka disarankan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan dan menguruskan segala formaliti perjalanan seawal mungkin bagi mengelak terlepas penerbangan disebabkan kesesakan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, penumpang AirAsia dinasihatkan melakukan daftar masuk melalui lamanweb atau peranti mudah alih bagi memudahkan perjalanan dan mencetak pas masuk penerbangan sebelum tiba di lapangan terbang bagi memudahkan proses perjalanan.
AirAsia turut menasihati penumpang mereka supaya mendaftar masuk bagasi seawal mungkin kerana kesesakan dijangka berlaku di tempat pemeriksaan keselamatan dan bagasi.
Manakala, penumpang penerbangan antarabangsa dinasihatkan terus ke pemeriksaan imigresen kerana tambahan trafik penumpang boleh menyebabkan kelewatan untuk tiba di pintu perlepasan.
Tambah kenyataan itu, mereka yang mempunyai tempahan berkumpulan, pergerakan terhad atau keperluan istimewa hanya dibenarkan mendaftar masuk di kaunter dan perlu memperuntukkan lebih masa bagi proses itu disebabkan kesesakan yang dijangka berlaku.
Selain itu, penumpang AirAsia juga disaran menempah hidangan lebih awal melalui laman web kerana permintaan tinggi semasa musim cuti perayaan dapat menyebabkan stok hidangan tidak mencukupi untuk pembelian secara terus semasa penerbangan.
“Tempahan awal dapat memastikan hidangan yang diingini tetamu dapat disediakan dan dapat dilakukan pada bila-bila masa selepas tempahan penerbangan dibuat dan sehingga 24 jam sebelum masa perlepasan yang dijadualkan,” kata kenyataan itu.
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment