Sunday, 27 July 2014
Datuk Q: Kesal gambar disalah guna kempen politik
Qamarul Zaman menunjukkan bukti rakaman gambar beliau dimanipulasikan parti pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
BAGAN SERAI - Bekas Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Qamarul Zaman Ismail kesal dengan tindakan pihak pembangkang menyalahgunakan gambarnya bersalaman dengan calon Pas Dun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Mohd Hassan untuk kegunaan kempen pilihan raya.
Qamarul Zaman yang juga bekas Ketua Umno bahagian Bagan Serai berkata, pihaknya kesal gambarnya bersalaman dengan Mohd Zawawi di sebuah warung di pekan Semanggol, tiga hari lalu disebarkan di dalam laman sosial dan blog oleh parti pembangkang, seolah-olah beliau ‘merestui’ perjuangan calon Pas itu.
Menurutnya, gambar yang dimuat turun itu juga dimanipulasikan parti pembangkang untuk menggambarkan seolah-olah pemimpin veteran Umno sepertinya kini sudah mula menolak perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Ingin ditegaskan perkara ini bukan perkara main-main, lebih-lebih lagi gambar saya dimanipulasikan sewaktu kempen pilihan raya tengah hangat berlangsung.
“Bagi saya ini melibatkan soal maruah dan kredibiliti sebagai tokoh pemimpin BN. Saya juga beranggapan tindakan kotor pembangkang menunjukkan mereka sudah terdesak mendapatkan sokongan rakyat sehingga sanggup mereka fitnah untuk menipu pengundi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno bahagian Bagan Serai, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.
Sementara itu, Zaili menggesa parti pembangkang berhenti menggunakan taktik kotor, sebaliknya menerima segala keputusan pilihan raya umum dengan hati terbuka.
“Saya sudah mendapat jaminan daripada Datuk Qamarul Zaman bahawa dia akan menyokong keempat-empat calon BN Parlimen Bagan Serai,” katanya.
Labels:
McmMcmHal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment