Saturday 19 July 2014

3 Gambar terkini Ahmad Hakimi Hanapi, co-pilot pesawat MH17

Hasrat salah seorang anak kapal pesawat Malaysia Airlines(MAS) MH17 untuk meraikan Aidilfitri bersama datuk dan neneknya di kampung halaman di Kedai Melor di sini tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.

Ahmad Hakimi Hanapi, 29, seorang pembantu juruterbang merupakan antara 15 kakitangan MAS yang menaiki pesawat itu sebelum terhempas di Ukraine semalam semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Datuknya, Daud Kadir, 80, berkata, cucu kesayangannya itu ada menghubunginya tiga hari lalu memaklumkan dia sudah tidak sabar untuk pulang beraya di kampung.

Katanya, dalam perbualan itu, Ahmad Hakimi memberitahu dia akan bertolak pulang ke kampung pada 25 Julai depan dan menyuruh datuk dan neneknya menanti kepulangannya itu.

“Dia begitu bersemangat memberitahu saya bahawa dia sudah tidak sabar pulang ke kampung. “Tidak sangka niatnya itu tidak kesampaian," kata Daud sebak ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tambah Daud, Ahmad Hakimi merupakan seorang cucu yang sangat baik dan bertanggungjawab malah dia sering pulang melawat datuk dan neneknya di kampung.

Katanya, arwah juga boleh diibaratkan seperti ‘payung keluarga’ di mana banyak membantu mereka selama ini. Daud memberitahu, Ahmad Hakimi tidak pernah lupa mengirimkan duit kepada mereka sebelum ini malah dia juga banyak membantu adik-beradiknya yang lain.

“Dia merupakan cucu yang sangat baik. Atas sifat murninya itu Allah telah menjemputnya dahulu dalam usia yang masih muda," katanya.

Kata Daud, walaupun sedih dengan pemergian cucu kesayangannya itu namun dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Kali terakhir dia menatap wajah cucunya itu adalah sebelum Ramadan lalu di mana ketika itu Ahmad Hakimi pulang ke kampung bersama isteri dan anaknya.




No comments:

Post a Comment