Kisah Seram l Fakulti Berhantu Malam Khamis (FBMK) UPM
Hari Khamis, malam Jumaat adalah hari yang paling orang Melayu suka bercerita hantu. Pelbagai cerita seram terbitan sang penerbit tempatan keluar terbang mencari mangsa mereka, sang penonton Melayu. Kisah ini diturunkan secara turun-temurun. Daripada anak cicit, moyang dan segala macam salasiah keluarga tahu akan cerita hantu. Pontianak, pocong, hantu raya, jembalang mata satu, mata dua, mata tiga, bermata-mata… Budak kecik kepala botak a.k.a toyol pun ada sudah terkenal. Si toyol itu hanya hendak mencari pendapatan sampingan je lah. Kenapalah dikomersilkan pula...
Di mana-mana sahaja tempat di Malaysia ini pasti akan ada cerita hantunya tersendiri.
Ini tak lari juga di universiti yang saya diami, Universiti Putra Malaysia (UPM). Banyak kisah seram yang saya dengari. Biasalah. Cerita hantu sebegini memang terkenal. Sebaran hanya daripada mulut ke mulut. Setiap tempat di UPM ini boleh dikatakan ada kisah seramnya. Semestinya ia bukan yang baik untuk diceritakan.
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) menjadi wadah penceritaan kisah seram pada kali ini. Saya putar istilah FBMK ke 'Fakulti Berhantu Malam Khamis' bagi menyedapkan sedikit kisah yang ingin saya ceritakan ini...
Al-kisah bermula apabila seorang kawan saya, si budak fbmk (secara tak rasminya) membuka cerita di suatu malam yang hening…. Dimulakan dengan kisah seorang pensyarah dikacau dalam pejabat sendiri di fbmk, blok B. Pada suatu malam beliau balik lewat dari pejabat sebab nak uruskan beberapa hal yang tertangguh. Ketika beliau sedang kunci pintu pejabat hendak pulang lebih kurang dalam jam 10-11 malam, beliau terdengar bunyi pelik dalam pejabat. Sret srot sret srot. Pelik. Tak apalah katanya. Sudaah lewat malam pun. Balik jer la dulu.
Keesokannya apabila beliau masuk dalam pejabat, beliau terkejut melihat berselerak pejabatnya. Fail bertebaran di atas lantai. Kertas-kertas berselerak di atas meja. Kesan cakar sana sini situ pada dinding. Seperti ada makhluk yang mengamuk… Rupanya ada yang tak suka beliau kerja lebih masa. Buat apa lama-lama di pejabat sehingga waktu malam. Dah cukup masa, balik jer la. Itu mesej si pembuat kacau agaknya. Setelah kes itu berlaku, tak digalakkan pensyarah balik lewat malam di fbmk…
Dikisah yang lain pula, pernah ada seorang pensyarah terlanggar pintu utama sliding door fbmk. Beliau ingatkan pintu sudah terbuka jadi jalan la cepat-cepat tapi rupanya tak. Bammm! Terlanggar sampai retak pintu tu dibuatnya. Takkan terlanggar pun boleh retak, bukan? Seperti ada yang sengaja menolak sekali supaya langgaran menjadi kuat. Tidak dapat dipastikan apakah ‘benda’ tu. Pensyarah tersebut dikejarkan ke wad ICU…
Saya pernah mengambil kelas di FBMK di bawah subjek 'Perubahan dan Komunikasi'. Nak dijadikan cerita, pensyarah saya untuk kelas itu membuka sedikit cerita menarik untuk santapan kami yang sedang kebosanan. Untuk makluman, kisah ini boleh dikategorikan Israeliyat versi FBMK. Saya tidak tahu benar atau tidak.
Al-kisahnya sedang kusyuk kami mendengar kuliah sampaian beliau… TIBA-TIBA… microphoneberdehem secara sendiri. Ssmsmmssmsms…. smsmsmsmsmsm…. Dua kali tuu. Terus senyap satu kelas. 1-2 minit lepas tu pensyarah pun bersuara.
“Ai, ada juga yang nak menyampaikan kuliah nampaknya,” sambil menglambai-lambai tangan beliau ke arah microphone.
“Awak nampak tak?” pandang beliau ke arah kami semua.
Saya dan yang lain geleng kepala jer. Apakah yang sedang berlaku ini? Biasalahkan apabila microphone berdehem seketika dua kerana tak off.
"Perkara begini jangan awak sangka tak pelik," dan bermulalah beliau bercerita pasal kisah hantu di FBMK.
Katanya jangan terkejut kalau ada perkara pelik berlaku di kawasan FBMK ni.
“Awak kalau masuk kelas sorang-sorang lepas tu nampak meja dekat kerusi tiba-tiba naik elok jer. Nampak elok seperti ‘ada’ yang datang kelas, awak nak buat apa?” pandangan serius beliau ke arah kami.
Kami terdiam. Para pelajar yang sibuk bersembang di belakang mula senyap. Suasana mula sepi. Mereka mula fokus. Mana taknya, ini akan tercatit satu kisah menarik di minda kami pada senja ini.
“Kalau saya lah, saya bungkus beg saya, ambil pen. Terus keluar ikut pintu tu. Kalau tak sempat, terus jer cabut begitu tinggalkan semua barang ni," aksi beliau seperti meninggalkan semua barang yang ada di meja.
"Takkan nak menunggu benda tu buat benda lain pula kan?” Tambah beliau itu.
Itu tanda ‘ada’ yang hendak duduk belajar bersama kita. Kalau biarkan lama-lama bersendirian, lain pulak jadinya.
“Saya sudah ada banyak pengalaman bekerja di FBMK ni. Pernah satu ketika dulu sedang elok saya mengajar tiba-tiba slide putih depan ni naik secara automatik tanpa ada orang tekan suisnya,” tunjuk beliau ke arah slide putih di hadapan kelas.
“Pernah juga sedang elok saya masuk ke kelas, kerusi pensyarah tiba-tiba berpusing secara sendiri. Kerusi pensyarah ini. Bukan kerusi pensyarah lain,” tepuk beliau pada kerusi yang didudukinya.
Slide putih dan kerusi berpusing secara sendirinya…
Nampaknya kelas ini mempunyai sejarah yang menarik bagi beliau.
Pesan beliau, kalau kami datang dan masuk kelas ni awal, berseorangan tanpa ada orang lain, sila tunggu di luar kelas.
"There is a high chance that the 2nd person in here is not human," kata beliau.
Erkkk… biar betul!? Dulu saya ada la jugak kelas BBC2401 di sini. Saya pernah masuk kelas ini seorang diri jer tau. Masa tu tengah hari. Masa saya masuk tu, memang ada terasa aura seram. Bulu roma di tangan ketika itu ada juga meremang. Tapi saya endahkan dengan membaca buku teks. Bukan sekali tapi dekat 2-3 jugak la saya berseorangan di dalam kelas ni. Alhamdullillah tak da pun ‘benda’ tu kacau. Nasib, nasib…
Tetiba meja kerusi naik secara sendiri… krek…
Kisah menarik bertambah lagi apabila, bunyi kompang lain dari yang lain hanya boleh didengari di FBMK ini.
Ujar pensyarah, jika ada yang teringin, boleh pergi di belakang blok B ini. Di satu kawasan lapang FBMK. Belakang kelas ini sahaja katanya. Datang untuk mendengar bunyian tersebut. Syaratnya adalah pada hari Jumaat, dalam waktu 11am-1pm sebelum orang solat Jumaat. Berseorangan.
Insya-Allah, akan dengar bunyi suasana meriah seperti kita pergi kenduri orang kahwin. Tepat pukul 1pm pasti ada bunyi orang berkompang. Ia seperti ada satu suasana meriah sedang berlangsung. Sama seperti kompang kenduri kahwin.
“Awak pastikan datang seorang diri tau. Jangan bawa kawan-kawan pulak. Nanti awak kata saya merepek pulak,” berkata beliau sambil beliau senyum.
Ish, ada kerja pulak saya nak pergi situ sorang-sorang. Bayangkan jika sedang saya leka mendengar bunyi kompang itu, dibukakan hijab pemandangan saya dapat melihat sekumpulan orang yang berkompang itu. Tidak semena-mena mereka pun dapat lihat saya. Ah sudah...
Tak la pula saya menghalang orang lain untuk mencuba kebenarannya. Kalau ada sesiapa yang teringin tu, boleh la mencuba yea. Nanti bolehlah cerita kepada saya betul atau tak. ^^. (kalau 'hidup' lagi…)
Kawasan lapang di belakang blok B, bangunan kelas KOH3333 aku (bilik Hamka). Jom kalau ada yang berani seorang diri di sini dengar bunyi kompang.
“Dulu ada sekumpulan pelajar nak buat satu majlis keraian di kawasan lapang di hadapan FBMK. Kawasan yang ada pokok krismas tu. Saya tak benarkan. Saya kata kalau nak buat, buat di atas jalan raya di hadapan bangunan FBMK sahaja. Apabila majlis berlangsung, 3 orang pelajar dihantar ke hospital sebab terkena histeria. Bayangkan jikalau dilakukan di kawasan lapang tu… Saya yakin tiada yang terlepas pengalaman histeria di situ.” kata beliau serius.
Nampaknya kawasan larangan bukan sahaja di belakang FBMK tetapi di kawasan-kawasan lapang di serata tempat FBMK. Serius kool!
Ini pula di belakang Pusat Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Lapang semacam jer… Seram tau bila aku lalu nak tangkap gambar di sini.
“Kalau nampak ada makcik cleaner ke hulu ke hilir selepas waktu pejabat, kalau boleh awak jangan tegur. Terutamanya waktu senja, di tandas,”
Kami terdiam seketika lagi. Apa yang peliknya dengan makcik cleaner?
“Cuba awak fikir. Cleaner di sini hanya bekerja di waktu pejabat. Mana yang ada kerja overtime. Lagipun, akan awak nampak belakang dia jer. Waktu Maghrib, waktu selalu muncul. Awak fikir siapa tu?” kata beliau selamba.
Alamak!!? Saya ketika itu dah la balik kelas itu di waktu Maghrib. Selalu jugak la pergi tandas sebelum balik. Harap-harap tak terserempak makcik cleaner tersebut. Mahunya gementar dan demam seminggu memikirkannya kalau terserempak.
Amat jarang kelas malam di FBMK terutamanya di Sanggar bahasa. Tempat tersebut ialah tempat yang paling dekat dengan 2 kawasan tidak akan didiami rakyat Malaysia.
Kalau ada pun kelas, jumlahnya adalah sedikit. Bayangkan kalau balik kelas pada pukul 11pm… seorang diri sambil tunggu bas depan FBMK… Bau harum menusuk ke hidung... Apabila menoleh kepala ke kiri…
“Lama jugak la bas ni. Kolej kita kat KTP…takutla balik sorang…” tegur seorang wanita misteri berambut panjang ala-ala amoi.
Kisah tambahan juga ada berkaitan dengan rumah khas untuk Naib Canselor (NC) atas bukit belakang FBMK. Takda NC setakat ni yang kekal tinggal di rumah tersebut sepanjang menjadi NC UPM. Berhantu. Duduk jer kena kacau. Macam-macam bunyi kedengaran tatkala bulan mula naik menunjukkan diri….
Saya pernah jugakla tengok rumah tu semasa pergi ladang 5 di belakang Kolej 6. Ketika itu kelas amalan ladang sedang berlangsung. Suasana keliling rumah itu sunyi. Lantai beranda rumah penuh dengan daun-daun kering. Dalam rumah nampak bersih sahaja seperti terjaga padahal tiada orang tinggal di situ. Ketika itu saya lihat lama-lama ke arah rumah itu. Seakan-akan ada kelibat manusia pula di jendela rumah tersebut. Kabur. Saya pandang semula ke arah instruktor saya. Bila ditoleh semula untuk kepastian - kosong… Apa lagi, cepat-cepat saya turun mendekati kawan-kawan yang lain.
Bulu roma naik. Degupan jantung meningkat. Rasa seram sejuk di belakang tengkuk.
Ada yang berani nak bermalam di sana tak? Jom…
Sebenarnya, teka-teki kenapa FBMK berhantu boleh dijawab dengan mudah. Terdapat dua tempat yang menjadi tempat wajib manusia singgah setelah mereka mati - kubur. Satu kubur Melayu Islam dan satu lagi jirat Cina (untuk makluman, jirat juga dikenali sebagai kubur tetapi kebanyakannya dikhususkan kepada penggunaan kubur cina).
Saya sarankan jika ada sesiapa yang berminat ingin memberontak menolak pembayaran sewa penginapan kolej yang mahal bolehlah menginap di sini. Ia juga digelar kolej 18 dan kolej Batu II.
Pilih salah satu. Blok Cina atau Blok Melayu. Dua-dua selesa. Dingin sahaja di waktu malam.
Kedua-dua kubur ini menjadi misteri. Ia hanya diziarahi ketika kematian berlaku. Sang arwah dan mendiang kekal senyap tanpa sebarang kata di rumah mereka. 'Penghuni' di atas hidup meriah tanpa gangguan mereka.
Demi menjadikan entri ini lebih menarik saya ingin pergi melawat rumah mendiang. Cuma ketikasnap tiba-tiba kedengaran bunyi anjing menyalak entah dari mana. Sempat 2-3 snap kelibat 2 ekor anjing dari rumah jirat datang menerpa ke arah saya. Apa lagi… rempitan harus bermula sekarang!
Pintu masuk ke jirat Cina UPM.
Pandangan dari belakang Sanggar Bahasa.
Kalau kubur Islam Melayu tidak pula saya pasti di mana.
Kubur Melayu Islam ada di belakang ini, mungkin?
Walau apapun kita sebagai umat Islam wajib percaya yang memang ada makhluk selain daripada manusia di dunia ini. Jin juga adalah makhluk ciptaan Allah. Jumlah mereka adalah 9 kali ganda daripada jumlah manusia .
Mari dengar ceramah Ustaz Kazim tentang hantu di UPM
Cuma tak perlulah kita takut kepada mereka. Biarkan mereka selagi mana mereka tidak mengganggu kita. Usah khuatir kerana Allah sentiasa di sisi kita. Baca sahajalah ayat pendinding yang biasa kita dengar - ayat kursi dan 3 kul. Insya-Allah terjamin keselamatan kita daripada gangguan makhluk pelik