Friday, 22 August 2014

Bayi dilatih supaya tahan lasak.

Bayi dilatih supaya tahan lasak.





Cuba pembaca bayangkan seorang bayi yang baru berusia dua minggu, yang masih lembut tubuhnya dihayun ke kiri dan kanan oleh seorang dewasa mengelilingi kepala serta diperlakukan seolah-olah seperti peralatan senaman harian.

Menakutkan?

Begitulah ‘Yoga Bayi’ yang dipraktikkan oleh seorang pakar terapi dari Russia, Lena Fokina, 51, terhadap seorang bayi yang menjadi ‘mangsa’nya dan aksi-aksi ‘akrobatik’ tersebut jelas membimbangkan ramai pihak, khususnya para ibubapa.

Menurut Lena, terapi itu asalnya diamalkan oleh puak-puak Afrika purba yang kemudiaannya dipermodenkan oleh seorang pakar, Dr. Igor Charkovsky, dan dilakukan terhadap bayi yang berusia beberapa minggu hingga umurnya mencecah dua tahun.

Wanita Rusia itu juga menjelaskan bahawa teknik itu sangat membantu tumbesaran bayi dan menegaskan bahawa tindakannya itu tidak salah dari sudut kemanusiaan sama sekali.

“Kaedah ini pada asalnya dibangunkan untuk menyembuh dan membetulkan kesihatan bayi yang mempunyai masalah otot atau tulang, namun ia juga sesuai untuk kanak-kanak yang sihat.

“Pergerakan ini direka untuk meningkatkan keupayaan otot dan pembangunan mereka.

“Dan sebenarnya bayi mampu membaca, menyanyi, bercakap, berenang sejak dilahirkan. Ia (yoga bayi) juga membuat tangan mereka yang lebih kukuh. Kami berperi kemanusiaan dan tidak berbuat apa-apa kesalahan pun,” katanya yang dipetik dari laman Dailymail.uk.com.

Meskipun menyedari ramai pihak yang marah melihat perlakuannya terhadap bayi yang menjalani terapi yoga bayi itu, Lena menegaskan bahawa tubuh badan bayi yang masih lembut itu mampu menyesuaikan diri dengan kaedah itu.

“Tubuh badan bayi yang kecil yang boleh menyesuaikan diri dengan proses mudah jika diamalkan secara beransur-ansur.

“Bayi itu akan selamat (dari sebarang kecederaan) sekiranya ibubapanya atau pengamalnya mempelajari, memahami dan menggunakan cara yang diajar oleh Dr. Charkovsky.

“Kebanyakkan orang rasa marah melihatnya (cara terapi yoga bayi) kerana mereka tidak sedar mengenai keupayaan sebenar bayi sedangkan sebenarnya kebolehan bayi-bayi ini lebih luas dari yang difikirkan,” katanya lagi.


Bagaimanapun, hujah Lena dan Dr. Charkovsky ini telah mencetus kontroversi dari ramai pakar-pakar perubatan moden yang membantah terapi ‘kejam’ itu. Ada di antara pakar-pakar itu yang berpendapat bahawa terapi itu mampu menyebabkan gegaran otak dan mengakibatkan kecacatan mental bayi.


Lena menyifatkan kritikan negatif yang diterimanya itu sebagai jahil dan melalui pengalaman selama 30 tahun mempraktikkan yoga bayi, belum ada lagi bayi yang berakhir dengan kecacatan mental mahupun fizikal.


“Pertama kali saya mencuba yoga bayi ialah pada 30 tahun lalu terhadap anak perempuan sulung saya, Alexandra. Pada mulanya saya bimbang, tetapi kemudian saya menyedari bagaimana anak-anak saya gembira menikmatinya dan ia begitu memberi inspirasi kepada saya.


“Mereka yang mengkritik kaedah ini adalah jahil. Jika mereka cuba untuk memahami apa yang kami lakukan, mereka akan mengubah pemikiran (tanggapan) mereka.


Semua anak-anak saya telah berkembang mengikut kaedah Charkovsky dan mereka semua telah mencapai keputusan cemerlang dalam kehidupan. Anak-anak saya adalah juara Russia dalam acara payung terjun, terjun bebas dan menunggang kuda.


“Sekarang anak-anak saya mengamalkan mereka kaedah-kaedah yang sama pada anak-anak mereka sendiri. Ia adalah bukti yang terbaik,” katanya penuh yakin.

Berikut adalah aksi bayi yoga yang dimaksudkan dan para pembaca diingatkan agar jangan melakukan aksi-aksi sedemikian selagi tidak mempelajari dan mahir dengan kaedah yang diperkenalkan Dr. Charkovsky tersebut.

No comments:

Post a Comment